KUALA LUMPUR, 13 Feb:
Dewan Pemuda PAS Malaysia mempersoalkan bagaimana orang yang sama iaitu
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir yang
merupakan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan
memegang jawatan Pemegang Amanah Yayasan Taqwa boleh memohon dan
meluluskan peruntukan dari Baitulmal MAIWP.
Ketuanya, Nasrudin
Hassan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS mendakwa, perkara tersebut
menimbulkan persoalan bagaimana jumlah permohonan berjumlah RM1 juta
tetapi diluluskan RM4 juta itu dilakukan oleh Jamil Khir yang merupakan
pemohon serta yang meluluskan permohonan tersebut.
"Persoalan ini
perlu dijawab dan kami mahu Jamil Khir menjelaskan perkara tersebut
yang telah menimbulkan tanda tanya bagaimana beliau yang juga merupakan
Pengerusi MAIWP dan juga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa boleh meluluskan
permohonan tersebut.
"Dalam pada itu juga permohonan yang dibuat
oleh Yayasan Taqwa haya RM1 juta tetapi kelulusan dari Baitulmal MAIWP
adalah sebanyak RM4 juta," jelasnya.
Dalam pada itu, Nasrudin
berkata Yayasan Taqwa jua mendakwa bahawa RM2 juta yang dibelanjakan
untuk pengurusan bukan sekadar perbelanjaan pengurusan tetapi meliputi
semua perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan program.
"Kita
melihat perincian perbelanjaan tersebut telah diperakui dan disahkan
mengikut skim mahupun peraturan yang ditetapkan malah ia diperakui oleh
semakan audit.
"Tetapi demi kepentingan pembayar zakat dan
sensitiviti seluruh umat Islam maka kita hari ini turut mendesak agar
Jamil Khir membuat pendedahan secara terperinci perbelanjaan pengurusan
RM2 juta itu, tindakan ini adalah sebagai menghapuskan keraguan yang
timbul," katanya lagi.
Katanya lagi, untuk apa diwujudkan Yayasan
Taqwa kerana pada masa sekarang peranan MAIWP dalam urusan menyampai
bantuan zakat sudah mencukupi apatah lagi dengan bantuan kakitangan yang
cekap dalam urusan tersebut termasuk segala maklumat penerima yang ada.
"Kita
melihat permohonan RM4 juta itu kalau diberikan kepada mereka yang
layak menerima zakat sudah tentu lebih ramai dapat merasakannya tetapi
wang tersebut disalurkan kepada sebuah yayasan yang dilihat mempunyai
kepentingan peribadi.
"Malah perbelanjaan RM2 juta itu juga satu
yang besar, kalau dikira berapa ramai penerima zakat dapat menikmati
wang tersebut jika ia disalurkan melalui sebuah badan yang layak,"
sambungnya lagi.
Dalam masa yang sama Dewan Pemuda PAS Pusat juga
ingin penjelasan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas tujuan
apakah Yayasan Taqwa yang berada di bawah MAIWP itu ditubuhkan sedangkan
sebelum ini segala urusan mengenai zakat telah dilakukakan oleh pihak
Baitumal MAIWP.