Cadangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob agar sisa kilang
memproses nadir bumi milik Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di
Gebeng, Kuantan dibuang di Sungai Lembing dibantah keras oleh NGO, Teras
Pengupayaan Melayu (TERAS).
Sambil menyifatkan cadangan itu sebagai tindakan gila, presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (kiri)
dalam satu kenyataan media berkata jika ini benar-benar dilakukan ia
adalah jenayah alam sekitar yang sepatutnya dihalang malah diambil
tindakan undang-undang yang tegas tanpa kompromi.
“Amat jahil
bagi sesiapa yang menganggap membuang sisa toksid seperti bahan
radioaktif Lynas ke dalam sungai tidak merosakkan alam sekitar.
“Ekologi
sungai yang kini sangat sensitif dan bakal punah akibat pembuangan sisa
radioaktif, pasti akan mengundang malapetaka yang tidak boleh dirawat
lagi,” katanya.
Menurut Mohd Azmi, walaupun cadangan menteri
besar Pahang itu dikatakan adalah di tapak lombong yang sudah tidak
digunakan, namun interaksi air bawah tanah yang akhirnya akan bersambung
ke sungai pasti akan memberi kesan yang berbahaya dalam jangka
panjang.
Katanya, TERAS bukan sahaja mengambil kira soal
kehidupan dan punca pendapatan penduduk Sungai Lembing yang bakal
terjejas itu tetapi yang lebih penting ialah soal persekitaran yang akan
bakal rosak dan tidak boleh dipulih lagi jika ia menjadi tapak buangan
sisa radioaktif.
“Adakah pihak Jabatan Pengairan dan Saliran
(JPS) dan Jabatan Alam Sekitar dirujuk dalam hal ini? Apakah
undang-undang perlindungan sungai akan diketepikan begitu sahaja?
“Ini
juga akan memperlihatkan slogan ‘Cinta Sungai Kita’ yang selama ini
dicanang oleh JPS hanya menjadi suatu momokan dan bahan ejekan,”
katanya.
Selain itu, Mohd Azmi turut mendesak supaya pemimpin
negara tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah berhubung isu itu
kerana tindakan mereka terus mengelirukan malah menyusahkan pegawai
kerajaan yang terpaksa berdepan dengan masyarakat.
“Padahal
kenyataan yang saling bercanggah antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri
Liow Tiong Lai dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu
pembuangan sisa toksik dari kilang Lynas ini membuktikan kelulusan
membenarkan Lynas beroperasi adalah keputusan sembrono.
“Tiba-tiba MB Pahang pula membuat kenyataan yang jauh lebih mengejutkan.
“Yang
jelas semua kenyataan ini dibuat hanya untuk berselindung di balik
hakikat yang sebenar. Bahaya kilang Lynas sememangnya mempunyai risiko
tinggi kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” katanya.
Sehubungan
itu, kata Mohd Azmi, TERAS mendesak kerajaan BN agar tidak lagi
membohongi rakyat dengan strategi emosi dan psikologi seperti yang
disebut oleh Najib.
“Apa yang rakyat mahu ialah dibatalkan terus
projek ini demi masa depan masyarakat dan alam sekitar negara,” akhiri
kenyataan beliau.
No comments:
Post a Comment